Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Mei. – Seramai 25 peserta Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 32; 33 peserta Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort 36, dan 29 peserta Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort 10 bagi Tahun Kewangan 2024/2025 menerima sijil masing-masing pada Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pensyarah, Bahagian Diploma Aliyah Qira'at, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, selaku salah seorang peserta EDPMMO.
Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis menyampaikan ucapan dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta program.
Terdahulu itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (PA), Dr. Awang Norfarizal bin Othman telah menyampaikan ucapan alu-aluan, diikuti dengan tayangan klip video aktiviti-aktiviti Program-program Pembangunan Eksekutif.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan, Timbalan-timbalan Menteri di JPM, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, dan Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA).
Program-program Pembangunan Eksekutif yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan merupakan program 'flagship' Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) di bawah Rangka Kerja Perkhidmatan Awam yang diwujudkan bagi mendukung hasrat Wawasan Brunei 2035 melalui Strategi Pembangunan Institusi (Institutional Development Strategy).
Tujuan CSLP adalah untuk menyediakan Leadership Pool dalam kalangan pegawai-pegawai Bahagian II ke atas bagi membantu Perancangan Strategik Sumber Manusia dalam PA.
Ke semua program dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan IPA.
Kandungan program-program berkenaan antara lainnya memuatkan mengenai pengajian isu dan dasar semasa, amalan terbaik dalam pengurusan dan pentadbiran PA yang dipraktikkan secara global.
Selain itu, para peserta juga diberikan pendedahan secara praktikal melalui penempatan kerja, projek kemasyarakatan, lawatan sambil belajar serta sesi dialog bersama pemimpin-pemimpin di Negara Brunei Darussalam.